Wednesday 2 November 2011

Galeri Salikin Training and Consultancy

Salikeen Training and Consultancy (STAC) diasaskan untuk menyediakan modul-modul dan metodologi pendidikan jiwa dan penyucian kerohanian (spiritual therapy) kepada segenap peringkat masyarakat berteraskan prinsip ilmu Akhlak dan Tarbiah Islam yang diwarisi daripada para ulama’ murobbi Islam yang muktabar sejak zaman berzaman.

STAC juga menyediakan modul-modul motivasi dalam menjelaskan makna kehidupan yang sebenar kepada para peserta berdasarkan prinsip ajaran Islam agar mereka dapat menjalani kehidupan mereka dengan fokus dan tujuan yang jelas berasaskan kehambaan kepada Allah s.w.t. (servitude-centric).

Di samping itu juga, STAC turut menyediakan modul pengurusan hidup secara tauhidik dalam merangka sebuah perjalanan kehidupan menuju kebahagiaan dalam meniti segala bentuk ketentuan dan cabaran dalam hidup.



Visi

Memberi penjelasan terhadap kerangka kefahaman sahih tentang agama Islam kepada masyarakat awam Islam.

Penerapkan nilai-nilai kehambaan berdasarkan ilmu penyucian jiwa warisan ulama’ salaf.

Memberi bimbingan kecemerlangan kepada para remaja sebagai pelajar muslim.

Gambar Pertama: Musolla Al-Azhar



Musolla Al-Azhar adalah bahagian solat dan pengajian-pengajian agama yang disediakan di STAC. Ini kerana, dalam program-program yang dijalankan oleh STAC, banyak menekankan antara aspek perpaduan antara ilmu dan amal. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan akan turut melibatkan solat fardhu secara berjemaah. Ini kerana, solat secara berjemaah mempunyai pengaruh yang besar dalam pembentukan jatidiri muslim terutamanya dalam membentuk rasa perpaduan dan saling menghormati dalam sesebuah komuniti muslim.





STAC juga menyediakan ruang menunggu dan sudut bacaan yang bermanfaat demi memupuk budaya cintakan ilmu dan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan para peserta. Bahan-bahan bacaan dalam pelbagai bahasa yang utama seperti bahasa Melayu, bahasa Arab dan bahasa Inggeris disediakan sebagai bahan rujukan untuk program-program yang sedang dijalankan atau untuk bacaan.




Keadaan kelas yang menarik dan selesa juga disediakan bagi keselesaan para peserta agar mereka dapat memberi sepenuh tumpuan ketika program dijalankan.

Sunday 25 September 2011

Sistem Pendidikan Islam dan Kesannya

SISTEM PENDIDIKAN ISLAM

Antara nilai-nilai sistem pendidikan Islam:

1) Integrasi Ilmu: Kesatuan setiap bidang ilmu berteraskan penghayatan bahawa semua ilmu adalah daripada Allah s.w.t. sebagai sumber ilmu tertinggi.

2) Tauhidisasi Ilmu: Ilmu yang diajarkan membawa kepada ma’rifatullah (mengenal Allah s.w.t.) kerana semua perkara sebenarnya adalah tanda-tanda kepada kewujudan, kebesaran, kekuasaan, kebijaksanaan, keesaan dan ketuhanan Allah s.w.t..

3) Tamadun Ilmu Pimpinan Wahyu: Menyedarkan betapa tamadun Islamlah yang mengembangkan ilmu pengetahuan sebelum tamadun Barat di mana tokoh-tokoh ilmuwan Islam mendapat inspirasi daripada pedoman Al-Qur’an yang menggalakkan budaya ilmu.

4) Ilmu Berteraskan Pembangunan Kerohanian: Nilai pendidkan Islam berteraskan gabungan antara ilmu, amal dan hal (keadaan hati dalam berhubungan dengan Allah s.w.t.) yang mana ianya hanya dapat diambil melalui tradisi suhbah (bersahabat dengan murobbi atau guru) yang berintipatikan aspek qudwah hasanah (contoh tauladan yang baik).

5) Ubudiyyah-Sentrik: Memusatkan tujuan penguasaan ilmu kepada tanggungjawab kehambaan kepada Allah s.w.t..

PEMBENTUKAN JATI DIRI PELAJAR DARIPADA SISTEM PENDIDIKAN ISLAM

1) Kenal Diri Sebagai Muslim: Para pelajar menghayati makna diri mereka sebagai muslim lalu membangunkan sudut intelek dalam diri mereka dengan rasa bertanggungjawab terhadap agama dan umat Islam.

2) Bertauhid: Para pelajar semakin mengenal Allah s.w.t. dengan penguasaan mereka terhadap ilmu.

3) Minda Islamik: Para pelajar merasa sangat menghargai tamadun Islam dan berusaha membangunkan sudut penguasaan ilmu demi kecemerlangan tamadun Islam.

4) Pembangunan Akhlak Mulia: Para pelajar dapat membentuk akhlak mulia melalui proses mencontohi akhlak mulia yang terdapat dalam diri para guru yang mulia.

5) Tersemai Unsur Kehambaan: Para pelajar menjalani kehidupan sebagai hamba Allah lalu menunaikan tanggungjawab kehambaan mereka dalam kehidupan seharian.

Kepincangan Sistem Pembelajaran Ala-Barat

KEPINCANGAN SISTEM PEMBELAJARAN SESAMA

Hasil Pengaruh Nilai Sistem Pembelajaran Barat:-

1) Dikotomi Ilmu: Pemisahan antara ilmu-ilmu yang bersifat nilai-guna dan kebendaan daripada ilmu-ilmu yang bersifat keagamaan dan kepercayaan.

2) Sekularisasi Ilmu: Ilmu yang diajar di dalam persekolahan tidak membawa kepada Ma’rifatullah (mengenal Allah).

3) Pembaratan Ilmu (Westernisasi Ilmu): Gambaran bahawa tamadun Baratlah yang bertanggungjawab mengembangkan ilmu pengetahuan dan memimpin tamadun ilmu.

4) Bebas-Tauladan: Sistem pembelajaran yang tidak didasari oleh konsep tarbiah (pendidikan kerohanian) melalui aspek qudwah hasanah (contoh tauladan yang baik).

5) Material-Sentrik: Memusatkan tujuan penguasaan ilmu pengetahuan kepada kebendaan semata-mata.


MASALAH-MASALAH YANG TIMBUL DARIPADA KEPINCANGAN SISTEM PEMBELAJARAN

1) Krisis Identiti: Para pelajar tidak menyedari kepentingan jati diri sebagai seorang muslim dalam sebuah masyarakat intelek.

2) Anti-Tauhid: Para pelajar tidak mencapai Ma’rifatullah walaupun sudah banyak menguasai ilmu pengetahuan.

3) Minda-Barat: Para pelajar lebih suka mencontohi nilai kebudayaan Barat kerana mereka menyangka tamadun Barat adalah pemimpin dalam tamadun ilmu.

4) Krisis-Nilai: Para pelajar tidak dapat menjadikan para guru sebagai contoh dalam akhlak lalu membentuk suatu persepsi bahawa akhlak mulia hanyalah suatu teori dan khayalan yang bersifat tidak praktikal dan tidak relevan.

5) Jiwa Materalistik: Para pelajar akan menjalani kehidupan secara individualistik kerana sibuk mengejar kepentingan material lalu mengabaikan tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat.